Rabu, 27 Jun 2012

Permusafiran Si Fakir Ramadhan (Masih Mekar Di Dalam Hati - Venezia)



Saturday, January 06, 2007

Masih Mekar Di dalam Hati

Satu saat ketika terhimpun kasad yang meninta simpul cinta di hati, meniliki saat madu kemanten terkemam oleh kelung masa berinti lingkar tanggungjawab yang menanti, sesudah memenuhi tugas, suami ingin mengisi kenangan agar tidak luruh hiba di saat dugaan menguji  saat masih berkemaruk kasih yang mohon dijauhi dikhianati.


Biar bersahaja hasrat itu kuat meruntun runtuh membekas di sudut jiwa...



"Tidak baik memikirkan perkara yang tidak berlaku... seolah-olah mahu menolak interaksi niat dan hasrat jujur hati lalu mengizinkan tanggungjawab memperalatkan diri..." kata lemak merdu bermadu lunak sesekali memalit pahit adalah kelaziman di saat masih muda menyusuri hidup berumah tangga...imbasan- imbasan masa lalu  adalah sesuatu yang tetap indah untuk dikenang bila sarat pengalaman mengindahkan kehidupan.


"Venice atau Venezia secara perlahan-lahan akan ditenggelami oleh kenaikan paras laut seandainya tiada usaha dilakukan bagi menghalangnya berlaku..." wajah yang menuturnya saya renungi.


Pemblog (bertudung di sebelah kanan) bergambar bersama dengan suaminya.



"Mengapakah di sini wanita-wanitanya ayu menawan?"roh insan mulai memahat mengusik jiwa agar tidak wewenang ditunduk emosi ...


"Supaya isteri abang menjadi cemburu..." ungkapan biasa yang mahu menghangatkan rasa. 


"Kami adalah hamba Allah yang menundukkan nafsu untuk beramanah dalam mengasihi...itulah permintaan lelaki sehingga berjaya menjadi suami!"pantas bahu saya didakapi suami.



Bangunan-bangunan lama jarak antaranya membina lorong sempit sebagai laluan utama gondola. Dengan sekali pandang sukar untuk diketahui yang mana pintu hadapan dan yang mana laman di bahagian belakang apabila lautan menjadi halaman rumah-rumah di Venice.


Pasangan muda dari Jepun mempelawa agar kami bersama memudiki tenang laut sambil menikmati keunikan konkrit binaan rumah-rumah yang berwarna-warna. Gelombang laut merintangi hasrat kami kerana ketika itu saya sedang berhadapan dengan 'mabuk' dengan kandungan anak ketiga.

Rakan dari Jepun yang sama bermusafir bersama kami.
Kami hanya melambai pasangan dari Jepun itu yang amat popular kerana kerap membawa peralatan lengkap kamera untuk merakamkan setiap lokasi yang menambat hati. Sesuatu yang membekas di hati, pasangan muda ini sentiasa tersenyum dan kerap membongkok ketika berseliseh dengan kami. Mereka umpama produk industri yang menjadi jenama sikap inovatif...memesrakan diri tanpa rasa rendah diri.



Sambil merenung wajah suami lancar disuarakan,"kita pula kerap bergelut dengan timbunan krisis antara elit tidak sekata helah menyimpan senario semasa, etnik sengsara tersesak rasa, marhaen bergiliran menjadi mangsa... salam barakah milik kita tidak terlihat ia memperkuat ikatan keyakinan antara hati jiwa dan raga."


Coklat pahit pemberian seorang wanita yang telah menjamah usia senja dengan dialek pekat Irishnya, dipatah dua untuk kami mengalas perut tatkala aroma harum parmesan cheese,olive marjoram dan bawang putih menusuk hidung... dalam suhu yang berada di bawah paras beku, dinginnya membuatkan rasa tidak sihat bila hidung mulai berair.



Lantaran kesuntukan masa kami cuba mencari ruang selesa sebelum Asar memasuki waktu. 


Saat itu gereja utama di Vanice sedang dalam pengubahsuaian.

Walaupun kerja pemulihan sedang dijalankan, pelancong yang membanjiri Venezia tetap diraikan dengan dibenarkan memasuki sebahagian dari perkarangan gereja yang luas itu.


Kami ketika itu sering menggunakan 'kamar rehat' dan  sering memuji kebersihan dan  cara bina serta hiasan dalamannya. Dengan alasan inilah sering 'kamar-kamar kecil' itu menjadi tempat kami mengqasar dan menjamakkan  solat-solat zhuhor dan ásar.



Waktu itu juga pernah saya berasa gembira tatkala ada wanita jelita yang ranggi bergaya menyapa saya dengan soalan, "apakah kamu seorang muslim?"

Benar, saya bersolat di kamar tandas di perkarangan salah sebuah premis di Vanice. 

Kamar itu besar dan bersih. 


Sejurus selesai bersolat saya bertemu semula dengan suami yang menanti di ruang legar premis tersebut. 


Seketika mata saya tertumpu  pada kain yang merentangi bangunan utama dengan perkataan 'ERATA DELL'ISLAM - ARTS'S ISLAMICA IN ITALIA.' 


Dengan lembut saya bisikan pada suami,"mungkin inilah sebabnya wanita jelita itu menyapa saya.




Merakamkan gambar suami di hadapan bangunan pameran  seni islam - Vanice 1994

Waktu itu terasa kedatangan kami bagaikan dialu-alukan biar pun hanya oleh pemidang yang tidak bersuara. 

Waktu itu saya tidak pasti apakah minoriti muslimin di Italy mempunyai komuniti dan ulamak yang boleh dihubungi sekiranya kami berhadapan dengan kesukaran-kesukaran yang tidak diduga.


Permusafiran Si Fakir Ramadhan (Catatan Permusafiran Dari Blog Bentala Kendiri)


Travelodge
MUSAFIR SI FAKIR RAMADHAN
BENTALA KENDIRI TUNJANGNYA AKAR AKIDAH.blogspot.com
May 2006

Friday, February 02, 2007

Ingatan

Dunia telah meniti usia oleh cuba dan duga yang semakin menzahirkan topologi yang seharusnya tidak berubah namun konturnya dengan skala meter semakin melebar merentasi sempadan telah hampir menjadikan jarak yang memisah bukan lagi ruang untuk saling belas dan kasih saling tertumpah...





Musafir pada tahun 1994 - berferi dari Dover ke Calais


Gambar tahun 1994 yang dipaparkan di atas mencatatkan catatan saya tentang bangku-bangku kayu di atas dek feri yang kami naikki dari Dover, England menuju ke Calais, Perancis. 

Bangku-bangku kayu itu sepi kerana penumpang- penumpang feri tidak upaya berhadapan dengan cuaca sejuk kesan dari pertarungan di antara bayu dari Laut Utara dengan Selat Ingeris yang bertiup dari Lautan Atlantik.  




"Calais merupakan pintu masuk dari jalan laut. Nanti jika diizin Allah kita akan menaiki keretapi dari Ahsford ke Paris, insya Allah bila tiba waktu itu kita bawa anak-anak sama ya."



Selama di dalam perjalanan suami saya sering ditanya apakah isterinya seorang guru? 

Guru yang baik dia sering berinteraksi dengan memelihara hubungan yang mesra dengan sering tersenyum bertukar ucapan dan berusaha membaik pulih hubungan dengan pelajar-pelajarnya sedangkan saya tidak memenuhi kriteria sebegitu.


"""Dia cuma tukang masak saya, suami berseloroh.


Penat melihat laut letih membaca kami memerhati dengan harapan agar ada di antara penumpang-penumpang feri ini yang mahu bersolat  namun, tidak pula tersua.


Suami meninggalkan saya seketika bagi mencari ruang untuk kami mendirikan solat.


Memasuki setiap ruang bilik hingga ke setiap ceruk dijelajahi akhirnya bertemu dengan longgokan timbunan beg-beg dan kotak-kotak barang muatan di tempat bagasi bersebelahan bilik enjin...ruang itu benar-benar hanya memuatkan untuk kami berdua.

Sewaktu masih di dalam keadaan bersolat saya kehilangan kekhusyukan tatkala ternampak dua lelaki tampan dengan pakaian seragam kelasi berjaket biru memerhati perbuatan kami.

Setelah mereka pergi tiba pula seorang lelaki berpakaian warna jingga seiras Mr. T memegang pemutar nut...dia menunggu kami sehingga kami selesai bersolat.



"Ya Allah, berilah perlindunganMu kepada kami,"hanya itu saja sempat dibisikkan perlahan kepada suami.


"Saya minta maaf,Tuan."  Suami mengujar dengan perlahan.


"Kapten  saya memberitahu bahawa ada orang yang seagama dengan saya sedang melakukan apa yang biasa saya lakukan di sini, kerana itu saya menunggu kelian untuk mengucap salam."


Tidak terucap syukur dan bahagia di saat itu...seorang yang berasal dari afrika bekerja dan tinggal di Paris dan boleh bertutur bahasa arab merasa amat gembira bertemu dengan kami.


Begitulah andaian-andaian dan sangkaan sering tidak benar.

 Siapa pun manusia itu lazimnya peribadinya terbentuk dari fitrah semula jadi yang sedia dan ikhlas untuk berbuat baik sesama insan, 


Bila jujur dalam mencari rezeki ia upaya melahirkan suasana harmoni di dalam sosial yang membudayakan sikap sederhana kerana ikhlas dalam berbudi.